Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuh dan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob.
Matlamat
perjuangan KMM ialah melahirkan semangat kebangsaan orang Melayu
daripada diperas dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan
bergabung dengan Indonesia untuk mewujudkan "Melayu Raya" atau "Indonesia Raya".
Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di
sekitar tahun 1940-1941 keseluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan
cawangan KMM di Terengganu.
Pertemuan
Ibrahim Haji Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala
Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu
diketuai oleh Wan Daud Ahmad dan setiausahanya ialah Ibrahim bin
Muhammad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang mengasaskan KMM
di Terengganu ialah Muda Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda
Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah
Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri
pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin.
Kemudiannya KMM
berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam
pembentukan KMM Besut ialah Mohammed Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail
dan Sheikh Ali bin Mohamed.
Pada tahun 1940
beberapa orang pemimpin KMM, Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Muhammad,
Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh
British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan
bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu
seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun
menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada
tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ),
dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin
oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan
daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.
Pada tahun
1942-1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini
Terengganu ditadbirkan oleh Tentera Jepun, 1942-1943 dan Pentadbiran
Tentera Thai, 1943-1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan di
atas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di
Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor). Dengan
mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama,
pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan
kepada empat pejabat; Pejabat Cuji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) dan Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).
Dalam tahun
1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu
kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai
Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran.
Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada Kerajaan
Thai pada pukul 11:50 pagi, 18 Oktober 1943. Pentadbiran Thai di
Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat
pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di
bawah Region 8, di bahawa pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu, yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley.
Sementara itu
Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan
Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM )
ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam
perjuangan KMM. Cawangan PKMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk
Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terngganu
ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji
Abdul Latif. Ibrahim Fikri menyertai PKMM setelah dibebaskan daripada
tahanan pada April 1946. Beliau dilantik menganggotai Majlis Tertingggi
Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di
Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada
akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua,
Salleh bin Muhammad sebagai setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah
sebagai Bendahari.
Cawangan PKMM
Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa
orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan
Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan pada tahun 1947 oleh
Yusof bin Embong, Mohd Senari Yunos, Wan Hasan bin Muda dan Mohd Noor
bin Ismail . PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin
oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad.
Pada tahun
1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan
Union. Pengenalan MU mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu.
Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan
Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan
peranan menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar
melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres
seTanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan
Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal
perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( UMNO ).
Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 yang berlangsung di Johor Bharu
pada 11 - 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn
Jaafar menjadi Presiden yang pertama.
Berikutnya
cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu; termasuk
Terengganu. Menyedari adanya tentangan maka Kerajaan British mengambil
sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan
baru.
Sultan Ismail
Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan
pada 21 Januari 1948. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan
Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain
dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada
30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam
Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala
Terengganu diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah
berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan ( Federal Legislative Council )
pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihanraya Majlis
Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953.
Tiga kerusi diperuntukkan dalam pilihanraya ini; Kuala, Ladang dan
Bukit Besar. Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.
Perkembangan ke
arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954,
pengisytiharan mengenai pilihanraya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan
ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh
Menteri Besar Terengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihanraya tersebut
akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15
kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala
Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit
Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu
Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun,
Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan.
Ketika penamaan
calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding di kawasan
Paka-Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai
Timur dan kedua selepas Johor di Persekutuan Tanah Melayu. Dalam
pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus
mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh
14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon bebas. Dalam pilihan
raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang
dipertandingkan.
Kemudiannya
ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada
tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu
juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya tersebut. Tiga
kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu
Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan
calon untuk bertanding dalam pilihanraya itu. Mereka yang dipilih ialah
Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan
Yahya bin Mohamed. Kemudiannya Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long
menarik diri daripada menjadi calon pilihanraya Persekutuan 1955.
Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali
lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku
Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu
Tengah. Che Ibrahim Fikri, calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu
Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya
bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh,
Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan.
Dalam pilihanraya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan,
Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam
pilihanraya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti
Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh
Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak.
Kini Parti
Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu.
Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
No comments:
Post a Comment