RIWAYAT HIDUP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN,
SULTAN TERENGGANU
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni
Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada
22 hari bulan Januari, 1962 bersamaan 15 hari bulan Syaaban, 1381 di
Bandar Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Kebawah Duli Yang Maha
Mulia adalah putera sulung daripada tujuh bersaudara.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan
Sulaiman dan kemudiannya meneruskan pendidikan pada peringkat menengah
di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Seterusnya
Baginda telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di
Geelongs Grammar, Victoria
, Australia
dari tahun 1980 hingga 1981. Sebelum mengikuti kursus tentera di
luar negara, Baginda berkesempatan meneruskan Kursus Bakal Tentera di
Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 18 hari bulan
Mei 1981 selama 3 bulan. Selanjutnya Baginda telah mengikuti kursus
tentera PRE SMC (E) 33 di
Army School of Languages mulai 2 hari bulan November 1982 hingga 31 hari bulan Mei, 1983 serta kursus SMC 33 di
Royal Military Academy, Sandhurst, England
mulai 3 hari bulan Mei, 1983 hingga 9 hari bulan Disember 1983.
Baginda telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat di Kor Kavalri
Diraja pada 1 hari bulan Mac 1984. Minat Baginda yang mendalam
terhadap bidang keilmuan telah mendorong Baginda untuk sekali lagi
berangkat ke luar negara bagi menyambung pelajaran di London
menerusi
US International University-Europe dan berjaya menggengam ijazah Sarjana Muda Sastera (
Bachelors Of Arts) dalam bidang
Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan
Zainal Abidin menunjukkan kepemimpinan semenjak usia belasan tahun
lagi. Dalam usia yang masih muda iaitu semasa berusia 17 tahun Baginda
telah dilantik dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri
Terengganu Darul Iman iaitu pada tanggal 6 November 1979. Kewibawaan
Baginda terserlah menerusi lantikan sebagai Pemangku Raja bagi kali
pertama pada 20 Jun 1986 dan seterusnya bagi kali kedua pada 21 Oktober
1990 sehingga 8 November 1990.
Bahawasanya, Baginda tidak hanya dilingkungi dengan batas kehidupan
istana semata-mata, malah sebagai buktinya baginda telah dilantik untuk
berkhidmat buat pertama kalinya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah
pada 15 September 1981. Pengalaman awal yang diterima baginda selama
setahun berkhidmat di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu banyak
memperkaya pengalaman dan membina disiplin diri yang kental sebelum
Baginda berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di
England.
Sekembalinya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke
tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara, Baginda sekali
lagi dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai, 1988
sehingga 10 Julai 1989 dan kali ini Baginda ditempatkan di Unit
Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Baginda telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah
Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai
1991. Sesungguhnya Baginda bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja
pentadbiran yang bersangkut paut dengan agenda ekonomi dan sosial
sahaja, malah Baginda sangat cenderung dan mengambil berat terhadap
hal ehwal keagamaan. Justeru dengan penuh rasa keinsafan dan
keprihatinan Baginda terhadap hal ehwal agama Islam, Baginda telah
dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.
Pada tanggal 28 Mac 1996, Baginda telah diijabkabulkan dengan Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah. Istiadat Perkahwinan Diraja
ini telah dilangsungkan dengan situasi gilang-gemilang dan dalam
suasana kesederhanaan yang meriah di Istana Maziah, Kuala Terengganu.
Sesungguhnya dengan kekentalan ikatan kasih Baginda dalam melayari
bahtera kehidupan berkeluarga pada saat ini, Allah s.w.t telah
menganugerahkan empat orang cahaya mata. Dua orang puteri dan dua
orang putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah diputerakan
pada 18 Disember 1996, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail
diputerakan pada 1 Mac 1998, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az
diputerakan pada 22 Disember 2000 manakala Yang Amat Mulia Tengku
Fatimatuz Zahra’ diputerakan pada 19 April 2002.
Dengan kehendak dan izin Allah s.w.t Yang Maha Kuasa pada 18 Muharam
1419 bersamaan 15 Mei 1998, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan
dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala
jajahan takluknya.
Begitu juga dengan izin dan takdir Allah s.w.t juga hendaknya, tidak
sampai setahun bersemayam di persada takhta Terengganu Darul Iman,
baginda Sultan segera dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong
pada tanggal 26 April, 1999. Serentak dengan pengisytiharan tersebut,
Baginda telah memegang amanah bagi menjalankan kewajipan-kewajipan serta
fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada 14 September 2000
hingga 10 Oktober 2000 semasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
bercuti di luar negara. Baginda sekali lagi diisytiharkan menjalankan
kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada
4 Oktober 2001 hingga 12 Disember 2001.
Baginda begitu perhatin mengenai kemakmuran
dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam
tindakan baginda dalam menangani permasalahan hal ehwal kemasyarakatan
dan keagamaan. Dengan demikian Baginda dilihat sentiasa mengintai
peluang mencemar duli untuk mencuri waktu bagi berdampingan dengan
golongan rakyat jelata. Sehubungan itu Baginda mempunyai hubungan
akrab dengan rakyat jelata atau dengan kata lain raja berjiwa rakyat.
Bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, Baginda mengambil
pendekatan turun ke akar umbi bagi menemui khalayak rakyat jelata
dengan bersembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri
Terengganu. Dalam konteks kehidupan beragama, Baginda sering kali
menekankan perihal pentingnya mengamalkan kesucian agama Islam.
Manifestasi daripada hal berkenaan dapat dilihat menerusi keberangkatan
ke Mekah pada tahun 2003 untuk menunaikan fardu haji bersama-sama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu dan Duli Yang Teramat
Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu. Keutamaan baginda terhadap
pemupukan nilai-nilai amalan agama, juga diperlihatkan menerusi ibadah
umrah yang menjadi amalan tahunan oleh Baginda dan keluarga.
Sesungguhnya baginda tidak dapat memisahkan diri daripada terlibat
dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama golongan rakyat. Sebagai
landasan untuk membantu dan menyebarluaskan usaha berkenaan, Baginda
telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Yayasan yang diberi gelar Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Yayasan berkenaan telah dilancarkan pada 19 Julai 2005, bersempena
Hari Ulang tahun ke-43 Keputeraan Baginda. Yayasan ini membuka ruang
seluas-luasnya pada Baginda untuk terlibat dalam kerja-kerja amal yang
bertujuan menyumbang kepada usaha peningkatan taraf sosioekonomi dan
kesejahteraan hidup rakyat khasnya bagi Negeri Terengganu dan rakyat
Malaysia amnya. Bagi mencapai matlamat berkenaan, Yayasan akan
terlibat dalam menganjurkan dan membantu serta membiayai pelbagai usaha
di bidang penyelidikan yang merangkumi disiplin ekonomi, sosial, agama,
budaya, sains dan teknologi. Cakupan atau tujahan bidang yang
dimaksudkan termasuklah dalam bidang perhutanan, sains teknologi dan
inovasi, pertanian, perikanan, agama Islam, pendidikan, warisan seni,
sastera, budaya, alam sekitar, sukan, kesihatan serta khidmat
kemasyarakatan. Sebahagian besar aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan
telah mencapai matlamatnya dengan meraih sokongan daripada pelbagai
pihak. Baginda begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan dan
kejayaan Yayasan ini. Oleh yang demikian, bagi menjamin kesinambungan
usaha-usaha ini tidak tergendala, di samping memastikan matlamat
penubuhan Yayasan tercapai secara maksimum, Baginda sendiri bertindak
proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan
setiap mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan tersebut. Penglibatan
dan iltizam Baginda membuktikan bahawa Baginda sangat teliti dan serius
dalam setiap tindakannya lebih-lebih lagi jika ia bersangkutan dengan
permasalahan nasib rakyat.
Selain sibuk dengan kerja-kerja amal dan pentadbiran, Baginda bijak
memperuntukkan sebahagian masa untuk beriadah, rekreasi dan bersukan.
Baginda semasa zaman remaja menaruh minat yang tinggi dalam sukan
seperti bola sepak, golf, tekwando, scuba diving dan
menunggang kuda. Disebabkan kekangan masa dan tambahan tanggungjawab
menyebabkan Baginda tidak lagi dapat bergiat aktif dalam melibatkan
diri secara langsung dalam aktiviti tersebut namun Baginda sentiasa
mengikuti perkembangannya dari masa ke semasa. Dalam sukan bola
sepak, keterlibatan Baginda dapat dilihat dengan lantikan sebagai
penaung kepada Persatuan Perkasa Alam. Persatuan ini terlibat dalam
sukan bola sepak dan pernah menyertai liga anjuran Persatuan Bola sepak
Malaysia (FAM). Baginda juga turut memberi perhatian yang serius
terhadap perkembangan pasukan bola sepak Negeri Terengganu dan sentiasa
memberi perangsang dan menyuntik semangat bagi menjulang nama Negeri
Terengganu dalam arena bola sepak negara.
Fokus dan ketelitian Baginda di dalam kehidupan seharian dapat
diterjemahkan menerusi langkah Baginda dalam kecekapan dan kemahiran
permainan golf. Sebagai hasilnya, Baginda pernah mencapai single handicap.
Namun tugas dan tanggungjawab Baginda yang semakin bertambah membatasi
Baginda untuk bergiat aktif dalam sukan kegemaran Baginda berkenaan.
Namun begitu, keterlibatan Baginda dalam acara golf dihadkan sekadar
memenuhi undangan acara-acara rasmi sahaja. Malah Baginda juga turut
menjadi penaung pada Kelab Golf Diraja Terengganu.
Keupayaan Baginda dalam membahagikan tugas rasmi dan aktiviti peribadi
dapat diperlihatkan menerusi kecenderungan Baginda dalam meningkatkan
kecergasan jasmani. Baginda menyenangi seni mempertahankan diri
tekwando dan secara tidak langsung, Baginda juga terlibat sebagai
penaung kepada Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF)
semenjak tahun 1990. Pada peringkat global, Baginda juga pernah
dilantik sebagai Presiden Tekwando Asia Pacific ITF. Keprihatinan dan
minat serta keterlibatan Baginda secara serius terhadap sukan
tekwando ini telah mendorong Baginda untuk dianugerahkan 7th Degree Black Belt (Kehormat) oleh Global Taekwando Federation
(GTF). Sejajar dengan minat Baginda yang mendalam terhadap sukan ini,
Malaysia telah berjaya mendapat kepercayaan menganjurkan World Taekwando Championship
di Kuala Terengganu pada tahun 1994 yang disertai oleh 88 buah negara.
Kewibawaan Baginda terus terserlah iaitu pada tahun 2003 apabila
Terengganu telah dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Tekwando
Peringkat Kebangsaan (MGTF). Sebagai penaung MGTF Baginda akan
merasmikan setiap pertandingan tekwando peringkat kebangsaan anjuran
badan terbabit, manakala piala pusingannya adalah sumbangan Baginda
sendiri.
Sejajar dengan kematangan umur, akhir-akhir ini Baginda menunjukkan
minat yang cukup tinggi dalam sukan berkuda khususnya Endurance. Baginda banyak terlibat dalam menyertai pertandingan Endurance Ride yang dianjurkan sama ada di dalam negara atau di luar negara. Adalah menjadi harapan dan hasrat Baginda agar sukan berkuda Endurance ini
turut diminati dan diceburi oleh rakyat Terengganu khususnya dan
Malaysia amnya. Dalam merealisasikan hasrat tersebut dan atas daya
usaha Baginda sendiri, sebuah Pusat Ekuestrian, sukan dan rekreasi
bertaraf antarabangsa telah siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu
yang turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan sukan.
Baginda telah menubuhkan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bagi tujuan untuk menyertai pertandingan sukan Endurance
berkuda di dalam dan di luar negara. Banyak kejohanan di dalam dan
di luar negara yang telah disertai dan pada bulan Ogos 2006, seramai 3
orang penunggang RTES telah mewakili Malaysia pada kejohanan WEC (World Equestrian Games) di Aachen, Germany. Pasukan ini juga sedang bersiap sedia untuk menyertai kejohanan European Open 2007 dan juga membuat persiapan untuk WEC 2008 di Lembah Bidong, Terengganu, Malaysia.
Dalam sukan Endurance Ride,
Baginda telah mencapai kejayaan peribadi dengan keupayaan melayakkan
diri dalam pertandingan peringkat antarabangsa setelah melepasi ujian 80
km pada tahun 2002. Baginda pernah menjuarai pertandingan Wilga 80
kilometer Endurance Ride, Wilga Australia pada 13 Mac 2004 dan turut mendapat tempat pertama dalam kejohanan Harris River Ride 90KM
di Perth, Australia pada 3 September 2005. Baginda pernah mewakili
Malaysia di Kejohanan Endurance 160KM Dubai, UAE pada 27 Januari 2005.
Bagi kejohanan Kelantan Royal Jublee Endurance 160KM pada 8 Oktober 2004 baginda mendapat tempat ketiga, manakala tempat keempat dalam kejohanan Johor Endurance 105KM pada 8 Februari 2004
Dengan kesungguhan dan inisiatif Baginda juga, Malaysia telah berjaya dipilih untuk menganjurkan World Endurance Championship
di Lembah Bidong, Terengganu pada tahun 2008. Bahawasanya Baginda
telah banyak menyuntik semangat dalam menyemarakkan sukan berkuda dan
hasilnya kini menjadikan sukan berkuda lebih dikenali dan diminati
oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
Baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran iaitu Darjah Seri
Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.P.M.T) pada 6 hari
bulan Mac 1982, Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 8 April
1986, Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji
(S.S.M.T) pada 12 Februari 1989, Darjah Utama Kerabat Terengganu
(D.K.T) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putera
Jamalullail (D.K. Perlis) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Mahkota
Johor Yang Amat Dihormati (D.K. Johor) pada 1 Oktober 1998, Darjah
Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) pada 27 Februari 1999, Darjah Kerabat
Diraja Terengganu Yang Amat Mulia (D.K.R) pada 6 Julai 2000, Darjah
Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) pada 6
Julai 2001, Bintang Kebesaran Negara Perancis Commandeur de a Legion d’Honneur
pada 15 Julai 2001, Darjah kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati
(D.K. Negeri Sembilan) pada 19 Julai 2001, Darjah Kerabat Yang Amat
Dihormati Negeri Kedah Darul Aman (D.K. Kedah) pada 20 Januari 2002,
Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunus) (D.K. Kelantan pada 30
Mac 2002), Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Selangor (D.K. Selangor)
pada 7 Mac 2003, Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat
Terpilih (S.U.M.Z,) pada 26 Mei 2005, The Most Auspicious Order of The
Rajamitraborn ( Thailand ) pada tahun 2009, dan Collar De La Order Al
Merito De Chile ( Chilie ) pada tahun 2009.