Monday, September 16, 2013

Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan

Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuh dan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob.
Matlamat perjuangan KMM ialah melahirkan semangat kebangsaan orang Melayu daripada diperas dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia untuk mewujudkan "Melayu Raya" atau "Indonesia Raya". Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940-1941 keseluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu.
Pertemuan Ibrahim Haji Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad dan setiausahanya ialah Ibrahim bin Muhammad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang mengasaskan KMM di Terengganu ialah Muda Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin.
Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohammed Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Sheikh Ali bin Mohamed.
Pada tahun 1940 beberapa orang pemimpin KMM, Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.
Pada tahun 1942-1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbirkan oleh Tentera Jepun, 1942-1943 dan Pentadbiran Tentera Thai, 1943-1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan di atas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Cuji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) dan Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).
Dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada Kerajaan Thai pada pukul 11:50 pagi, 18 Oktober 1943. Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, di bahawa pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu, yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley.
Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan PKMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terngganu
ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Ibrahim Fikri menyertai PKMM setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946. Beliau dilantik menganggotai Majlis Tertingggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.
Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Yusof bin Embong, Mohd Senari Yunos, Wan Hasan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail . PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad.
Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan MU mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres seTanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 yang berlangsung di Johor Bharu pada 11 - 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama.
Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu; termasuk Terengganu. Menyedari adanya tentangan maka Kerajaan British mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.
Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan ( Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihanraya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalam pilihanraya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.
Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihanraya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihanraya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan.
Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding di kawasan Paka-Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Persekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.
Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihanraya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Mohamed. Kemudiannya Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihanraya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri, calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan.
Dalam pilihanraya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihanraya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak.
Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

 

Istana Maziah
Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran Bukit Puteri, kira-kira 200 meter dari gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.
Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10.00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) pada masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881 - 1918 ). Manakala, catatan Dato' Seri Amar Di Raja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.
 
Istana ini dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 ( 7 Zulhijjah 1286 ). Tokoh yang dipertanggungjawabkan sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah saudara ipar Sultan Zainal Abidin III iaitu Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat) dan juga Dato' Mata-Mata. Di samping itu, tugas mendapatkan kayu diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu-bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir, garam, putih telur dan manisan.
Kira-kira 20 orang tukang (Melayu dan Cina) terlibat dalam pembinaan istana ini. Masalah kewangan pada ketika itu menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh seketika. Walaupun begitu, istana ini siap dan upacara 'naik istana' diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1321 ). Tidak berapa lama selepas istana ini siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana yang pada ketika itu di bawah anjung istana ini boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 - 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi pada masa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah ( 1945 - 1979 ). Bilik di tingkat bawah dimana terletaknya Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan itu, Singgahsana tersebut dipindahkan ke tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh. Selain itu bilik di tingkat atas sebelah matahari naik telah dirobohkan untuk menempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana ditempatkan di tingkat atas bangunan baru istana ini. Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.

Istana Nur Nadhirah
 
Setakat yang diketahui, istana ini telah didirikan pada tahun 1920-an iaitu selepas termeterainya perjanjian Terengganu-Inggeris pada tahun 1919 yang antara lain kandungannya mengkehendaki Kerajaan Terengganu menyediakan sebuah rumah sebagai kediaman rasmi Penasihat Inggeris.
Semasa pemerintahan Jepun, istana ini dijadikan tempat kediaman Gabenornya, Shuchiji Kakha (Shu Chokan Kakha) manakala semasa pemerintahan Siam pula ia telah dijadikan tempat kediaman Gabenornya. Selepas Perang Dunia Kedua, istana ini dijadikan tempat tinggal Penasihat Inggeris sehingga Disember 1956.
Apabila negara mencapai kemerdekaan, istana ini menjadi tempat kediaman rasmi Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Terengganu. Istana ini telah ditukarkan namanya kepada Istana Nur Nadhirah pada tahun 1998.
RIWAYAT  HIDUP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN,
SULTAN TERENGGANU

         Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 hari bulan Januari, 1962 bersamaan 15 hari bulan Syaaban, 1381 di Bandar Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah putera sulung daripada tujuh bersaudara.

         Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya meneruskan pendidikan pada peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.  Seterusnya Baginda telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar, Victoria, Australia dari tahun 1980 hingga 1981.  Sebelum mengikuti kursus tentera di luar negara, Baginda berkesempatan meneruskan Kursus Bakal Tentera di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 18 hari bulan Mei 1981 selama 3 bulan.  Selanjutnya Baginda telah mengikuti kursus tentera PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages mulai 2 hari bulan November 1982 hingga 31  hari bulan Mei, 1983 serta kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, England mulai 3 hari bulan Mei, 1983 hingga 9 hari bulan Disember 1983.  Baginda telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat di Kor Kavalri Diraja pada 1 hari bulan Mac 1984.  Minat Baginda yang mendalam terhadap bidang keilmuan telah mendorong Baginda untuk sekali lagi berangkat ke luar negara bagi menyambung pelajaran  di  London menerusi US International University-Europe dan berjaya menggengam ijazah Sarjana Muda Sastera (Bachelors Of Arts) dalam bidang Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

         Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin menunjukkan kepemimpinan semenjak usia belasan tahun lagi. Dalam usia yang masih muda iaitu semasa berusia 17 tahun Baginda telah dilantik dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri Terengganu Darul Iman iaitu pada tanggal 6 November 1979.  Kewibawaan Baginda terserlah menerusi lantikan sebagai Pemangku Raja bagi kali pertama pada 20 Jun 1986 dan seterusnya bagi kali kedua pada 21 Oktober 1990 sehingga 8 November 1990.
          Bahawasanya, Baginda tidak hanya dilingkungi dengan batas kehidupan istana semata-mata, malah sebagai buktinya baginda telah  dilantik untuk berkhidmat buat pertama kalinya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah pada 15 September 1981. Pengalaman awal yang diterima baginda selama setahun berkhidmat  di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu banyak memperkaya pengalaman dan membina disiplin diri yang kental sebelum Baginda berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di England.

         Sekembalinya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara, Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai, 1988 sehingga 10 Julai 1989 dan kali ini Baginda ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri  (UPEN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Baginda telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991.  Sesungguhnya Baginda bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran yang bersangkut paut dengan agenda ekonomi dan sosial sahaja,  malah Baginda sangat cenderung dan mengambil berat terhadap hal ehwal keagamaan. Justeru dengan penuh rasa keinsafan dan keprihatinan Baginda terhadap hal ehwal agama Islam, Baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.
          Pada tanggal 28 Mac 1996, Baginda telah diijabkabulkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.  Istiadat Perkahwinan Diraja ini telah dilangsungkan dengan situasi gilang-gemilang dan dalam suasana  kesederhanaan yang meriah  di Istana Maziah, Kuala Terengganu.
          Sesungguhnya dengan kekentalan ikatan kasih Baginda dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga pada saat ini, Allah s.w.t telah menganugerahkan empat orang cahaya mata.  Dua orang puteri dan dua orang putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah diputerakan pada 18 Disember 1996, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az diputerakan pada 22 Disember 2000 manakala Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ diputerakan pada 19 April 2002.
          Dengan kehendak  dan izin Allah s.w.t Yang Maha Kuasa pada 18 Muharam 1419 bersamaan 15 Mei 1998, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.
          Begitu juga dengan izin dan takdir Allah s.w.t juga hendaknya, tidak sampai setahun bersemayam di persada takhta Terengganu Darul Iman, baginda Sultan segera dilantik sebagai  Timbalan Yang Dipertuan Agong pada tanggal 26 April, 1999.  Serentak dengan pengisytiharan tersebut, Baginda telah memegang amanah bagi menjalankan kewajipan-kewajipan serta fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada 14 September 2000 hingga 10 Oktober 2000 semasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bercuti di luar negara. Baginda sekali lagi diisytiharkan menjalankan kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada 4 Oktober 2001 hingga 12 Disember 2001.
         
         Baginda begitu perhatin mengenai kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda dalam menangani permasalahan hal ehwal kemasyarakatan dan keagamaan. Dengan demikian Baginda dilihat sentiasa mengintai peluang mencemar duli untuk mencuri waktu bagi berdampingan dengan golongan rakyat jelata.  Sehubungan itu Baginda  mempunyai hubungan akrab dengan rakyat jelata atau dengan kata lain raja berjiwa rakyat. Bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, Baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi bagi menemui khalayak rakyat jelata dengan bersembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu. Dalam konteks kehidupan beragama, Baginda sering kali menekankan perihal pentingnya mengamalkan kesucian agama Islam. Manifestasi daripada hal berkenaan dapat dilihat menerusi keberangkatan ke Mekah pada tahun 2003 untuk menunaikan fardu haji bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu dan Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.  Keutamaan baginda terhadap pemupukan nilai-nilai amalan agama, juga diperlihatkan menerusi  ibadah umrah yang menjadi amalan tahunan oleh Baginda dan keluarga.
          Sesungguhnya baginda tidak dapat memisahkan diri daripada  terlibat dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama golongan rakyat. Sebagai landasan untuk membantu dan menyebarluaskan usaha berkenaan, Baginda telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Yayasan yang diberi gelar Yayasan Diraja Sultan Mizan. Yayasan berkenaan telah  dilancarkan pada 19 Julai 2005, bersempena Hari Ulang tahun ke-43 Keputeraan Baginda.  Yayasan ini membuka ruang seluas-luasnya pada Baginda untuk terlibat dalam kerja-kerja amal yang bertujuan menyumbang kepada usaha peningkatan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat khasnya bagi Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia amnya.  Bagi mencapai matlamat berkenaan, Yayasan akan terlibat dalam menganjurkan dan membantu serta membiayai pelbagai usaha di bidang penyelidikan yang merangkumi disiplin ekonomi, sosial, agama, budaya, sains dan teknologi. Cakupan atau tujahan bidang yang dimaksudkan termasuklah dalam bidang perhutanan, sains teknologi dan inovasi, pertanian, perikanan, agama Islam, pendidikan, warisan seni, sastera, budaya, alam sekitar, sukan, kesihatan serta khidmat kemasyarakatan.  Sebahagian besar aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan telah mencapai matlamatnya dengan meraih sokongan daripada pelbagai pihak. Baginda begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan dan kejayaan Yayasan ini. Oleh yang demikian, bagi menjamin kesinambungan usaha-usaha ini tidak tergendala, di samping memastikan matlamat penubuhan Yayasan tercapai secara maksimum, Baginda sendiri bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan tersebut. Penglibatan dan iltizam Baginda membuktikan bahawa Baginda sangat teliti dan serius dalam setiap tindakannya lebih-lebih lagi jika ia bersangkutan dengan permasalahan nasib rakyat.
          Selain sibuk dengan kerja-kerja amal dan pentadbiran, Baginda bijak memperuntukkan sebahagian masa untuk beriadah, rekreasi dan bersukan. Baginda semasa zaman remaja  menaruh minat yang tinggi dalam sukan seperti bola sepak, golf, tekwando, scuba diving dan menunggang kuda.  Disebabkan kekangan masa dan tambahan tanggungjawab menyebabkan  Baginda tidak lagi dapat bergiat aktif dalam melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti tersebut namun Baginda sentiasa mengikuti perkembangannya dari masa ke semasa.  Dalam sukan bola sepak, keterlibatan Baginda dapat dilihat dengan lantikan sebagai  penaung kepada Persatuan Perkasa Alam. Persatuan ini terlibat dalam sukan bola sepak dan pernah menyertai liga anjuran Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM). Baginda juga turut memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan pasukan bola sepak Negeri Terengganu dan sentiasa memberi perangsang dan menyuntik semangat bagi menjulang nama Negeri Terengganu dalam arena bola sepak negara.
          Fokus dan ketelitian Baginda di dalam kehidupan seharian dapat diterjemahkan menerusi langkah Baginda dalam kecekapan dan kemahiran permainan golf. Sebagai hasilnya, Baginda pernah mencapai single handicap. Namun tugas dan tanggungjawab Baginda yang semakin bertambah membatasi Baginda untuk bergiat aktif dalam sukan  kegemaran Baginda berkenaan. Namun begitu, keterlibatan Baginda  dalam acara golf dihadkan sekadar memenuhi undangan acara-acara rasmi sahaja. Malah Baginda  juga turut menjadi penaung pada Kelab Golf Diraja Terengganu.
          Keupayaan Baginda dalam membahagikan tugas rasmi dan aktiviti peribadi dapat diperlihatkan menerusi kecenderungan Baginda dalam meningkatkan kecergasan jasmani. Baginda menyenangi seni mempertahankan diri tekwando  dan  secara tidak langsung, Baginda juga terlibat sebagai penaung kepada Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) semenjak tahun 1990.  Pada peringkat global, Baginda juga pernah dilantik sebagai Presiden Tekwando Asia Pacific ITF.  Keprihatinan dan minat serta  keterlibatan Baginda secara serius terhadap sukan tekwando ini telah mendorong Baginda untuk dianugerahkan 7th Degree Black Belt (Kehormat) oleh Global Taekwando Federation (GTF).  Sejajar dengan minat Baginda yang mendalam terhadap sukan ini, Malaysia telah berjaya mendapat kepercayaan menganjurkan World Taekwando Championship di Kuala Terengganu pada tahun 1994 yang disertai oleh 88 buah negara.  Kewibawaan Baginda terus terserlah iaitu pada tahun 2003 apabila Terengganu telah dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Tekwando Peringkat Kebangsaan (MGTF). Sebagai penaung MGTF Baginda akan merasmikan setiap pertandingan tekwando peringkat kebangsaan anjuran badan terbabit, manakala piala pusingannya adalah sumbangan Baginda sendiri.
          Sejajar dengan kematangan umur, akhir-akhir ini Baginda menunjukkan minat yang cukup tinggi dalam sukan berkuda khususnya Endurance.  Baginda banyak terlibat dalam menyertai pertandingan Endurance Ride  yang dianjurkan sama ada di dalam negara atau di luar negara.  Adalah menjadi harapan dan hasrat Baginda agar sukan berkuda Endurance ini turut diminati dan diceburi oleh rakyat  Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.  Dalam merealisasikan hasrat tersebut dan atas daya usaha Baginda sendiri, sebuah Pusat Ekuestrian, sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa telah siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan sukan.
          Baginda telah menubuhkan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bagi tujuan untuk menyertai pertandingan sukan Endurance berkuda di dalam dan di luar negara.  Banyak kejohanan di dalam dan di  luar negara yang telah disertai dan pada bulan Ogos 2006, seramai 3 orang penunggang RTES telah mewakili Malaysia pada kejohanan WEC (World Equestrian Games) di Aachen, Germany.  Pasukan ini juga sedang bersiap sedia untuk menyertai kejohanan European Open 2007 dan juga membuat persiapan untuk WEC 2008 di Lembah Bidong, Terengganu, Malaysia.
          Dalam sukan Endurance Ride, Baginda telah mencapai kejayaan peribadi dengan keupayaan melayakkan diri dalam pertandingan peringkat antarabangsa setelah melepasi ujian 80 km pada tahun 2002.  Baginda pernah menjuarai pertandingan Wilga 80 kilometer  Endurance Ride, Wilga Australia pada 13 Mac 2004 dan  turut mendapat tempat pertama dalam kejohanan Harris River Ride 90KM di Perth, Australia pada 3 September 2005.  Baginda pernah mewakili Malaysia di Kejohanan Endurance 160KM Dubai, UAE pada 27 Januari 2005.  Bagi kejohanan  Kelantan Royal Jublee Endurance 160KM pada 8 Oktober 2004 baginda mendapat tempat ketiga, manakala tempat keempat dalam kejohanan          Johor Endurance 105KM pada 8 Februari 2004
          Dengan kesungguhan dan inisiatif Baginda juga, Malaysia telah berjaya dipilih untuk menganjurkan World Endurance Championship di Lembah Bidong, Terengganu pada tahun 2008.  Bahawasanya Baginda telah banyak menyuntik semangat dalam menyemarakkan sukan berkuda  dan hasilnya kini menjadikan sukan berkuda lebih dikenali dan diminati oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
         Baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.P.M.T) pada 6 hari bulan Mac 1982, Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 8 April 1986, Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T) pada 12 Februari 1989, Darjah Utama Kerabat Terengganu (D.K.T) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putera Jamalullail (D.K. Perlis) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Mahkota Johor Yang Amat Dihormati (D.K. Johor) pada 1 Oktober 1998, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) pada 27 Februari 1999, Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia (D.K.R) pada 6 Julai 2000, Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) pada 6 Julai 2001, Bintang Kebesaran Negara Perancis Commandeur de a Legion d’Honneur pada 15 Julai 2001, Darjah kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati (D.K. Negeri Sembilan) pada 19 Julai 2001, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Negeri Kedah Darul Aman (D.K. Kedah) pada 20 Januari 2002, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunus) (D.K. Kelantan pada 30 Mac 2002), Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Selangor (D.K. Selangor) pada 7 Mac 2003, Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.U.M.Z,) pada 26 Mei 2005, The Most Auspicious Order of The Rajamitraborn ( Thailand ) pada tahun 2009, dan Collar De La Order Al Merito De Chile ( Chilie ) pada tahun 2009.

    YAB DATO' SERI AHMAD BIN SAID

Menteri Besar Terengganu,
Tingkat 16, Wisma Darul Iman,
Pejabat Menteri Besar Terengganu,
20502 Kuala Terengganu, TERENGGANU.

ASAL-USUL BATU BERSURAT!!!

CATATAN SEJARAH

Rabu, 14 Oktober 2009


















Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara, di Kampong Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan, di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang di jadikan alas membasuh kaki untuk naik ketangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atasnya.

Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, Batu ini dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian Batu itu diletakkan atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris Di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang Jurufoto berbangsa Jepun N. Suzuki mengambil gambar dan dihantarkan kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.

Batu ini bertulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah. Tulisan pada Batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu berserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, Batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang di wakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementrian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan Encil Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Y.A.B. Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah Peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharaan agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-Undang Islam.



SUMBER DARIPADA PIHAK MUZIUM NEGERI TERENGGANU

MENGENAI BATU BERSURAT
















Agak aneh dan pelik kenapa Batu Bersurat yang mengandungi ayat Qur’an serta tulisan aturcara itu telah di gunakan sebagai alas kaki guna membasuh kaki di Masjid Kampung Buloh dimana ianya di gunakan. Mengikut beberapa sebab yang di ceritakan oleh penduduk tempatan bahawa semasa Batu Bersurat itu di jumpai, ianya telah bersalut dengan selaput batu luaran dan hanya setelah sekian lama ianya di gunakan, saluran batu luaran itu terhakis sedikit demi sedikit sehinggalah menampakan tulisan di atasnya. Sebab lain yang di berikan adalah bahawa para penduduk tidak dapat membaca atau memahami tulisan jawi yang kebanyakannya mengandungi bahasa jawa kuno sehinggalah ianya di terjemahkan oleh pihak kerajaan Inggeris.


‘......Pada tahun 1902, Saiyed Husin Ghulam al Bukhari singgah di masjid Kampong Buloh untuk menunaikan sembahyang zohor. Bila sampai di masjid. Saiyed Husin ternampak setongkol batu bertulis dengan tulisan jawi terletak di tangga masjid digunakan untuk pelapik tempat orang membasuh kaki. Selepas sembahyang, Saiyed Husin meminta Penghulu Ali bin Sulaiman dan bilal masjid membawa batu itu ke perahu untuk di persembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III.’ (Catatan Mohd Zabidi Haji Saidi – Hulu Terengganu Menuju Keemasan)


Hasil dari pendapat ini, timbul pendapat yang mengatakan bahawa Batu Bersurat yang di tuliskan itu berasal dari Tanah Jawa dan di tulis oleh orang jawa. Sekiranya pendapat ini benar, dengan sendirinya akan menyingkirkan pendapat bahawa Batu Bersurat itu di bawa dari negeri Cina kerana kandungan bahasa yang di gunakan itu.


BUKTI ISLAM BERTAPAK KUAT DALAM PERKEMBANGAN ISLAM DI MALAYSIA




















Ramai di kalangan ahli sejarah baik dari luar dan dalam Malaysia berpendapat bahawa Batu Bersurat Terengganu hanya merupakan tanda awal Islam mula bertapak di Malaysia dan hanya merupakan tunasnya sahaja. Ramai yang meletakkan Melaka sebagai tanda permulaan yang kukuh di mana Islam di perkembangkan di seluruh jagat Malaysia atau di kenali sebagai Tanah Melayu ketika itu.


‘......Dakwaan setengah ahli sejarah yang mengatakan bahawa penyebaran agama Islam yang pertama bermula di Terengganu melalui negeri China berdasarkan sebuah batu bertulis yang dijumpai di negeri itu membuktikan bahawa sekumpulan orang Islam telah mendiami di Terengganu dalam tahun 702 Hijrah (1303 M), ini tidak dapat diterima, kerana kedudukan Islam di Terengganu pada masa itu tidak kukuh untuk berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Apa lagi pelopor pertamanya ialah ahli perniagaan dan panglima perang Cina yang beragama Islam sahaja, tidak dari pembesar-pembesar negara sebagaimana di Melaka. Lebih-lebih lagi tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa pemerintah negeri Terengganu sendiri di waktu itu mengambil anisiatif yang tegas dalam penyebaran agama Islam, ataupun sekurang-kurangnya memeluk agama Islam........’ (Catatan Haji Dusuki Haji Ahmad – Ikhtisar Perkembangan Islam)



Ramai juga yang berprasangka bahawa Batu Bersurat telah di bawa dari negara lain seperti dari China dan juga dari tempat-tempat yang lain. Ini di ragui ketepatan pendapatnya kerana kenyataan Batu Bersurat itu sendiri yang menyebutkan perkataan negeri ‘Terengganu’ menunjukkan bahawa ianya di karang di bumi Terengganu dan bukannya di bawa dari luar.


TAFSIRAN MUKA 1
















  • Rasulullah dengan yang orang sentiasa mereka sir
  • Asa pada Dewata yang Mulia Raya memberi menamakan negara Agama Islam
  • Dengan benar bicara dari diajar mengesahkan bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya
  • Di Benua aku ini penentu agama Rasulullah s.a.w. Raja Mandalika yang benar secara Islam Dewata Mulia Raya
  • Bahumi ini penentu itu fardhu pada sekalia Raja Mandalika
  • Islam menurut sembah Dewata Mulia Raya
  • Dengan benar bicara secara hal ehwal kerana Hukum Mu Asma Illahi Mu
  • Maka titah Seri Paduka Tuhan menduduki Tamir ini di benua Terengganu ini ada purnama ada
  • Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di Sasakala
  • Baginda Rasullullah telah lalu Tujuh Ratus Dua

TAFSIRAN MUKA 2

















  • Keluarga di benua jauh jika (minta bahagian)
  • Datang berikan. Keempat (derma) orang berpiutang
  • Jangan mengambil (laba jika diambil) hilangkan emas
  • Kelima derma barang orang (laki-laki) merdeka
  • Jangan mengambil tukul (buat pakai) emas
  • Jika ambil hilangkan emas. Keenam derma barang
  • Orang berbuat balacara laki-laki perempuan satitah
  • Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
  • Seratus rotan. Jika beristeri
  • Atau perempuan bersuami ditanam hinggakan
  • Pinggang di hambalang dengan batu matikan
  • Jika ingkar (balacara) hambalang jika anak Mandalika

TAFSIRAN MUKA 3


















  • Bujang dandanya sepuluh tengah tiga jika........
  • Menteri bujang dandanya tujuh tahil (sepaha)........
  • Tengah tiga, jika tertua (ketua) bujang dandanya lima (tahil).....
  • Tujuh tahil sepaha masuk bendahara, (jika) orang.......
  • Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak (berkahwin)........
  • Tiada dapat bersuami, jika berbuat balacara jika tiada (saksi)

TAFSIRAN MUKA 4



















  • ......tiada benar dendanya setahil sepaha kesembilan derma
  • .......(Titah) Seri Paduka Tuhan siapa tiada terpedaya dendanya sepuluh tengah tiga
  • ........jika anakku atau pamanku atau cucuku, atau keluargaku atau anak (saudaraku)
  • ........Tamir ini segala isi Tamir barang siapa tiada mengikut Tamir ini laknat Dewata Mulia Raya
  • .........dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgarcara Tamir ini
0 ulasan

TERENGGANU HEBAT!!!


Terengganu adalah salah sebuah daripada tiga negeri di pantai timur. Ia terletak di bahagian timur semenanjung Malaysia, betul-betul menghadap Laut China Selatan. Negerinya sungguh makmur dan tenteram. Daripada ketiga-tiga negeri di pantai timur, Terengganu boleh dikatakan negeri yang paling kaya dengan hasil lautan dan sumber mineral yang melimpah ruah.

Sejarah yang panjang
Sejarah Terengganu adalah amat panjang. Kuala Terengganu dipercayai telah dihuni dan didiami sekurang-kurang pada abad ke-10 masihi. Catatan cendekiawan daripada China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan Cao Cu Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’. Buku ’Cu-fan-Cih’ karangan Cao Ju Kua tahun 1226 ada menyebut pula ‘Teng-ya-nung’. Ramai ahli sejarah tempatan berpendapat sama ada Coa Cu Fei atau Coa Ju Kua, kedua dua mereka tersebut merujuk kepada kedua-dua kepada nama Tengganu atau sekarang dikenali Terengganu.

Pengaruh Islam
Terengganu dicatatkan sebagai negeri yang menerima pengaruh Islam paling awal di Tanah Melayu. Penemuan batu bersurat oleh seorang pendagang dan pendakwah Islam, Syed Hussein Ghulam al-Bukhari pada 1902 di Kuala Berang telah membuktikan bahawa Islam telah sampai di Terengganu sekurang-kurangnya pada abad ke-12 masihi. Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tarikh sebenar batu ini adalah pada Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303 masihi.

Negeri alim-ulama
Terengganu memiliki tradisi melahirkan ramai para alim ulama yang bertaraf wali. Antaranya adalah Tokku Pulau Manis(Sheikh Abdul Malik), Sheikh Abdul Qadir Bukit Bayas(Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani), Tokku Tuan Besar (Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin), Tok Sheikh Duyung(Sheikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani), Tuan Guru Cik Umar Besut(Haji Umar bin Cik Ahmad) Tokku Paloh(Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad al-Aidrus), Tok Ku Melaka(Saiyid Ahmad bin Saiyid Muhammad al-Aidrus) dan Haji Abdul Rahman Limbong.
Di kalangan ulama yang dicatatkan ada yang mempunyai jalur keturunan yang sama seperti Tokku Tuan Besar adalah bapa kepada Tokku Paloh dan datuk saudara kepada Tokku Melaka. Ada pula di kalangan mereka adalah guru kepada ulama-ulama lain. Misalnya, Sheikh Abdul Qadir Bukit Bayas adalah guru kepada Tokku Tuan Besar dan Tokku Paloh adalah guru kepada Haji Abdul Rahman Limbong. Kesinambungan alim ulama di Terengganu masih lagi berjalan sehingga ke hari ini dengan lahirnya beberapa ulama yang digelar ‘Tuan Guru’ seperti Tuan Guru Haji Hadi Abdul Awang, Tuan Guru Haji Mamat Merbau Patah,Tuan Guru Haji Abas Kuala Besut dan ramai lagi.

China Town di Kuala Terengganu.


Pemandangan Bukit Puteri daripada seberang laut.


Pemandangan kesibukan kapal keluar masuk dari atas Bukit Puteri.


Pasar Tanjung


Kesibukan menjual beli di tapak pasar kedai payang sekarang.


Pemandangan daripada seberang laut kampung Pulau Duyung.


Kampung Pulau Duyung


Perarakan bunga emas dan perak untuk dihantar ke Bangkok.


Kampung Seberang Takir tahun 1947.


Feri yang membawa muatan daripada Kuala Terengganu ke Seberang Takir. Sekarang sudah dimodenkan dengan pembinaan Jambatan Sultan Mahmud.


Sewaktu banjir besar di Pulau Kambing.


Berjual beli di tapak Pasar Kedai Payang.


Satu pemandangan di kampung nelayan.


Suasana nelayan menarik perahu ke persisir pantai.


Kesibukan nelayan yang mencari rezeki di Laut China Selatan.


Bandar Kuala Terengganu awal 1950-an.


Istana Badariah 1940-an.


Istana Maziah tahun 1895.


Masjid Abidin atau lebih dikenali Masjid Putih.


Istiadat diraja Terengganu tahun 1920-an.


Terengganu tahun 1980-an.


Tapak Pasar Marang tahun 1980-an.


Marang awal 1990-an.


Kuala Berang tahun 1950-an.


Perlabuhan Chukai dan bandar Kemaman tahun 1940-an.



Istana Kolam, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Kuala Terengganu


Pasar Kedai Payang sewaktu baru dibuka.


Kelihatan dengan jelas Bukit Besar di sebelah kanan gambar.



Kemeriahan pasar Kedai Payang.



Sekolah Melayu Pulau Duyong.



Sekolah agama Sultan Zainal Abidin.



Pemandangan di persisir pantai di Kuala Terengganu.



Perahu besar di muara Sungai Terengganu.



Terengganu tahun 1960-an.